Sejarah



Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Tentunya para pelancong tertanya-tanya apakah tempat menarik yang boleh dijadikan sebagai destinasi merehatkan badan? Jawapannya ialah Melaka. Ini kerana Melaka mempunyai tempat-tempat bersejarah yang wajib dilawati oleh pelancong. Sambil melancong sambil menambahkan pengetahuan. 

Pernah dengar mengenai Kampung Morten? Di sini terdapat sedikit maklumat mengenai kampung Morten. Kampung Morten yang terletak di Melaka sangat terkenal dengan 'muzium hidup' kerana penduduknya masih mengamalkan cara yang hidup yang tidak berubah selain daripada mempamerkan keunikan reka bentuk rekaan rumah mereka. Menurut sejarahnya, nama Kampung Morten diambil sempena nama Frederick Joseph Morten (J.F Morten) iaitu pesuruhjaya Tanah apabila suruhanjaya tersebut ditibuhkan pada awal 1920-an. Morten telah memainkan peranannya untuk membina kampung ini yang dulunya hanya sebuah paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka.


Dikatakan, pengasas kepada kampung ini ialah Allahyarham Othman Mohd Noh. Selain itu, Kampung Morten adalah satu-satunya kampung melayu di bandar bersejarah ini yang masih mengekalkan identiti tersendiri walaupun telah melewati beberapa zaman seperti reka bentuk rumah, dan cara menghias rumah dan landskapnya. Uniknya, rumah traditional melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat melayu yang bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin. Tangga batu adalah antara ciri utama disamping ukiran kayu di halaman rumah kampung traditional ini. Tambahan lagi, pokok bunga yang dihias di halaman rumah menyerikan lagi rumah traditional ini. 

Tarikan seperti ini yang tiada ditempat lain telah menarik minat pelancong dari negara luar mahupun rakyat Malaysia sendiri untuk berkunjung malahan dijadikan sebagai tempat penginapan semasa bercuti. Bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan tapi kampung ini juga telah dijadikan tempat untuk membuat aktiviti seperti Malam Persembahan dan sebagainya. 

Kampung Morten telah mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada 1988 sebagai kawasan perkampungan traditional melayu dan pusat tarikan pelancong. Kini, perkampungan ini dikelilingi bangunan moden dan aliran air sungai Melaka yang semakin bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindah oleh kerajaan negeri. Kepada mereka yang menaiki Melaka River Cruise iaitu perkhidmatan bot untuk menyusuri kira-kira empat kilometer sungai berkenaan tentunya terpegun melihat rumah traditional melayu yang terdapat di kampung ini.

Oleh yang demikian, anda tidak boleh lupa untuk meletakkan Kampung Morten di dalam senarai destinasi pelancongan anda. Kampung yang mempunyai seluas 5.02 hektar tanah itu dibuka pada tahun 1922 yang telah menempatkan 100 buah penempatan yang dihuni oleh 100 peratus masyarakat melayu dengan anggaran 600 penduduk.





kawasan sekitar Kampung Morten


Pintu Gerbang Kampung Morten


Cahaya Di Malam Hari..


Keindahan hanya di Kampung Morten..